Green Horizontal Stripe Pointer

Suami Yang Kubenci

#BAB 5

"NAK pergi ke tak nak ni?" Uwais sudah berada di muka pintu utama.

Hannah masih duduk di sofa, seakan berat untuk keluar dari rumah.

"Memanglah nak pergi....tapi kalau awak pakai Baju Melayu ni, memalukan saya tahu tak?" Mata Hannah merenung Baju Melayu yang dipakainya. Muka cemberut Hannah juga sudah membuktikan betapa tidak sukanya Hanah bila baju itu jadi pilihan, bukan sut Versace yang dibawa khas oleh PA Hannah petang tadi.

"Nak malu apa pulak? Bukan saya tak pakai baju pun........!"

"Susahlah kalau bercakap dengan orang kampung ni....." Hannah bangun dan mengambil kasut tumit tinggi empat inci dari dalam rak.

"Memang saya ni orang kampung, konservatif pada pandangan awak, kan? Tapi...saya rasa baju saya ni lebih sedap mata orang memandang daripada pakai baju mahal tapi terdedah sana sini..." Uwais mengerling pakaian yang dipakai oleh Hannah malam itu. Agak terdedah di bahagian dada dan lengannya, sedangkan di bahagia kaki pula mencecah lantai.

"Don't you dare to tease me, okay...! Suka hati sayalah nak pakai baju macam mana pun, bukan saya beli baju ni pakai duit awak!"

"Kalau saya, semua tak boleh... tapi kalau awak, boleh pulak nak kritik pakaian saya, ya?"

"Itu sebab pakaian awak tak sesuai dan memalukan!"

"Memalukan? Awak sedar tak ini pakaian kebangsaan budaya kita orang Melayu? Sepatutnya awak tu pakai baju kurung atau kebaya, bukannya pakai nightdress yang dedah sana sini...Siapa yang sepatutnya malu? Awak atau saya, Hannah?"

"Arrghhhh....saya malas nak bertengkar dengan awak lagi, suka hati awaklah.....!"

"Bukan saya yang mulakan.........."

"Whatever!"

Mereka keluar dari rumah. Di garaj, Hannah sudah bersedia untuk masuk ke dalam kereta Audinya. Namun bila Uwais juga membuka pintu Mini Cooper, Hannah tidak jadi masuk.

"Awak nak bawak kereta buruk tu ke? Tak payah nak buat lawak tambahan. Saya dah cukup malu dengan pakaian awak tu, tak payah nak peningkan kepala saya lagi....Kita pergi dengan kereta saya."

"Saya tak nak. Kalau di pejabat awak, itu hak awak nak mengarah sesiapa aje... tapi di rumah, awak tak de kuasa pun nak arahkan saya sesuka hati awak, Hannah..... Saya ni suami awak, bukan pekerja awak. Dan sekarang, saya nak pergi dengan kereta saya ni....Buruk ke tidak, saya tetap nak pergi dengan kereta saya."

"Awak ni kenapa, Uwais? Memang sengaja nak cari pasal, ya?"

"Saya tak paksa. Awak boleh pergi dengan kereta cantik awak tu.. tapi kalau tuk ayah tanya kenapa kita datang berasingan, awak jawablah sendiri. Kata pasangan bahagia, kan?"

Dum! Hannah menutup kuat pintu keretanya. Memang dia sudah bengang sampai tahap tidak mampu lagi hendak bersuara. Dia masuk ke dalam kereta Uwais yang sudah dihidupkan enjinnya. Kedua-duanya diam sahaja. Uwais tahu Hannah sedang menahan marahnya.

"Pakai tali pinggang keselamatan tu...." tegur Uwais.

Hannah cuba menarik tali pinggang di sisinya, tetapi puas ditarik, tali itu seakan tersekat.

"Awak tengok......nak pakai tali pinggang pun susah.Kereta buruk macam ni, buang aje dalam sungai lagi baik!" dengus Hannah. Dia sudah malas menarik tali itu. Setelah disentak, tetap masih tidak boleh ditarik juga. Uwais menggeleng melihat gelagat Hannah.

Dia sedikit mendekat dengan Hannah. Dengan lagak tenang dan perlahan, Uwais menarik tali pinggang itu, dan tanpa sebarang masalah lalu didekatkan pada penyangkutnya.

"Lain kali, bila buat sesuatu jangan dalam keadaan marah.... Nanti kerja senang pun boleh jadi susah." Uwais bersuara perlahan.

Hannah termakan juga dengan teguran itu. Kalau dia fikirkan balik, apalah sangat hendak dimarahkan hanya kerana sepasang baju... tetapi bila memikirkanisu itu melibatkan air mukanya, dia masih tidak boleh terima perkataan 'tidak' pada Uwais.

"Saya tak perlukan nasihat awaklah...Cepatlah drive tu! Dengan kereta awak ni, entah berapa lama baru boleh sampai."

"Sabar dulu boleh tak? Kita belum baca doa lagi...."

"Doa apa pulak?" Hannah mengeluh untuk ke sekian kali.Tambah menyakitkan hati bila Uwais masih boleh tersenyum  hingga menampakkan kedua-dua lesung pipitnya.

"Naik kenderaan...."

Hannah tidak tahu apa yang patut dia cakap lagi. Mahu tidak mahu dia ikut menadah tangan bila Uwais sudah mula membacakan doa. Macam manalah aku boleh setuju nikah dengan dia ni?

Hampir pukul tujuh tiga puluh minit malam, mereka tiba di rumah banglo milik Tan Sri Idris. Hannah melihat terdapat beberapa biji kereta mewah di parkirkan di halaman. Dia tahu hampir ke semua ahli keluarganya sudah pun sampai. Dia segera turun dari kereta. Mulanya dia berniat mahu mendahului Uwais, malas dia hendak beriringan  dengan lelaki itu. Buat malu sahaja... tetapi dibatalkan niatnya bila memikirkan apa pula kata mereka yang hadir nanti.

"Kenapa?" tanya Uwais bila Hannah  masih berdiri di sii kereta.

"Tunggu awaklah...!" Hannah tanpa berlengah menarik tangan Uwais. Digenggam jari Uwais persis pasangan suami isteri yang saling mencintai. Mereka jalan seiringan.

"Pandai betul awak berlakon, kan?" bisik Uwais.

"Shut up....!" Hannah mengerling sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja mereka masuk, pegangan tangan Hannah terlepas dan dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Oh My God!!!

No comments:

Post a Comment