Green Horizontal Stripe Pointer

Lafazkan Kalimah CintaMu


#Bab 2

Mak Cik Rokian atau lebih dikenali sebagai Mak Kiah selaku pembantu rumah di rumah mewah itu begitu sibuk menyediakan juadah untuk makan malam . Namun dalam kesibukan dia menyediakan hidangan, mulutnya terkumat-kamit bagaikan berbicara sesuatu. 
          "Kiah, abang tak makan malam ni, abang nak pergi rumah Halim ada kenduri doa selamat." Ujar Pak Hasan yang muncul di muka pintu dapur. Namun Pak Hasan menjadi agak pelik apabila tiada sebarang reaksi mahupun balasan daripada isterinya.
          "Hei Kiah, awak ni kenapa? Abang cakap Kiah buat tak tahu aje." Tegur Pak Hasan dengan suara sedikit keras.
          Terperanjat Mak Kiah dibuatnya bila dimarahi oleh suaminya tiba-tiba. 
          "Kenapa abang ni, tak ada angis tak ada ribut nak mengamuk pulak. Cuba cakap elok-elok." Gerutu Mak Kiah pada suaminya.
          Pak Hasan yang berdiri di muka pintu sudah melangkah masuk untuk mendapatkan isterinya yang sudah muncung gara-gara ditegur tadi.
          "Abang bukan marah... Abang tanya aje, awak ni kenapa bercakap sorang-sorang? Ni ha muka, abang tengok berkerut seribu... Hish, awak ni kenapa Kiah? Awak sakit ya?
          Mak Kiah menghela nafas perlahan. Wajah suaminya direnung sambil memeluk mangkuk nasi. "Saya ni bukan apa bang, saya kesiankan si Qila tu. Sayu hati ni bila mengenangkan nasib dia." Bergetar suara Mak Kiah kedengaran.
          Pak Hasan melepaskan keluh perlahan.
          "Kita nak buat macam mana Kiah. Engku tak dapat nak terima dia. Dulu abang ingat masa budak tu lahir aje dia tak suka tapi nampaknya abang salah. 10 tahun Kiah... 10 tahun dah berlalu tapi rasa benci Engku pada Qila makin hari makin menebal. Entahlah abang pun tak tahu nak cakap apa lagi." Ujar Pak Hasan separuh berbisik.
          Mak Kiah terus menggeleng, matanya terus berkaca.
          "Abang tahu tak, tadi saya nampak Engku marah si Qila hanya disebabkan dia nak minta tandatangan pada kad laporannya. Dia tolak budak tu keluar dari bilik belajarnya. Dikoyaknya kad laporan budak tu, dijerkah-jerkahnya budak tu.
           Kesian betul saya tengok bang. Apalah budak kecik tu tahu. Dahlah dari kecik dia ajar si Qila tu panggil dia Pak Engku... Tak layak ke budak tu nak panggil dia papa? Hina sangat ke Qila tu bang sampai dia benci macam tu sekali? Sedih sungguh hati saya bang, Qila tu sebaya dengan anak kita Farhana tapi nasib dia..."
           Bum!!!
           Perbualan mereka terus terhenti sebaik terdengar bunyi pintu bilik dihempas kuat dari luar, tidak sampai seminit Tengku Hisham sudah menjengah di ruang dapur dengan wajah yang masam mencuka.
           "Kak Kiah saya nak keluar, nanti Kak Kiah hidangkan makanan untuk Puan Reena dan Tasha aje." Tanpa berlengah Tengku Hisham terus melangkah pergi.
           Mak Kiah dan Pak Hasan berpandangan sesama sendiri. Mak Kiah sempat menjuihkan bibirnya.
           "Abang tengoklah tu, nama si Qila tak disebutnya langsung. Tu mesti lepas gaduh dengan puan, manalah puan tu tak semakin sakit kalau hari-hari asyik tertekan dengan perangai Engku... Tapi balik-balik si Qila tu disalahkan punca sakit puan. Tak faham betul dengan perangai Engku ni, tak ada hati perut ." Gerutu Mak Kiah dalam nada yang cukup perlahan.
           Pak Hasan tidak memberikan sebarang jawapan, dia terys melangkah ke pintu.
           "Abang pergi dulu..." Kata-kata itu hanya dibalas dengan jelingan oleh Mak Kiah. Geram pastinya.


"Mak Kiah mana nasi! Hish Mak Kiah ni, terhegeh-hegeh! Tasha dah lapar sangat ni!" Jerit Tengku Natasha dari meja makan.
          Mak Kiah yang mendengar suara anak kesayangan Tengku Hisham itu terkocoh-kocoh menyendukkan nasi panas ke dalam bekas nasi.
          "Mak Kiah ni buat apa kat dapur tu, nak ambik nasi pun lambat." Gerutu Tengku Natasha dengan sombongnya sebaik Mak Kiah muncul dari dapur bersama mangkuk nasi di tangan.
          "Maaf ya Tasha, Mak Kiah ada kerja sedikit di dapur. Tasha tak panggil Qila makan sama?" Pertanyaan Mak Kiah itu menyebabkan Tengku Natasha membeliakkan matanya.
          "Siapa dia yang Tasha nak ajak makan sekali? Mak Kiah macam tak tahu pulak, bukan ke papa tak kasi dia makan sekali di meja ini. Tempat dia..." Tengku Natasha memuncungkan bibirnya. "Tu...Di dapur... Dengan orang gaji!"
          Berdesing telinga Mak Kiah mendengarnya, jika tak difikir yang dia dan suaminya masih memerlukan di rumah mewah ini sudah lama mulut anak majikannya yang sombong itu disagat dengan berus dawai, biar terburai bibir dan gusinya.
          Sebaik sahaja Mak Kiah hendak melangkah ke dapur dia mendengar suara Tengku Aqilah memanggilnya. Tenang sungguh mendengar suara kecil itu, serasa seluruh kasih sudah tertumpah hanya buat si comel itu.
          "Mak Kiah, makanan mama dah siap ke? Qila nak makan dengan mama..."
          Mak Kiah terus mengangguk.
          "Sudah sayang, Mak Kiah dah siapkan. Nanti Mak Kiah bawa naik atas. Mak Kiah tahu memang hari-hari pun Qila makan dengan mama kan?" Ujar Mak Kiah lembut. Sempat lagi dia membelai rambut ikal Tengku Aqilah sebelum berlalu ke dapur untuk mengangkat hidangan ke bilik Puan Azreena di atas.
          Tengku Aqilah baru hendak mendaki anak tangga pertama terus berpusing memandang kakaknya Tengku Natasha.
          "Kesian Kak Tasha makan sorang-sorang. Jom kita makan sekali dengan mama." Ajak Tengku Aqilah dengan suara yang ceria.
          Namun perlawaan Tengku Aqilah itu mengundang kemarahan kakaknya. Pinggan makannya terus didorong dengan kuat ke tepi hingga berdeting bunyinya bila berlaga dengan pinggan lauk yang lain. Nasib baik saja tidak pecah.
          "Hei Qila, kau ni saja nak hilangkan selera makan aku kan! Kalau kau nak makan dengan mama, kau pergilah makan, jangan nak ajak-ajak aku! Dengan bilik bau busuk macam tu, kencing berak dalam pampers, geli tahu tak? Loya tekak aku. Hish, hilang dah selera aku nak makan. Dah tepilah menyakitkan hati aje. Kalau papa ada tadi dah lama dia tampar mulut celopar kau tu! Tak serik-serik kena tarik telinga tadi!" Serentak itu tubuh Tengku Aqilah di tolak ke tepi dengan kuat. Nasib baik Tengku Aqilah sempat memaut pemegang tangga jika tidak pasti dia akan jatuh tergolek.
          Tengku Natasha terus mendaki anak tangga sambil menghentak-hentakkan kakinya. Marah sungguh dia bila Tengku Aqilah mengajak dia untuk makan sekali dengan mamanya. Lama juga rasanya dia tidak menjenguk bilik mamanya. Selalunya Tengku Natasha hanya akan menjengah mamanya bila papanya ada di dalam bilik itu, semata-mata mahu berlakon di depan papanya yang dia seorang anak yang baik dan bertanggungjawab kononnya.
          Terkedu Tengku Aqilah mendengar kata-kata kakaknya itu. Mak Kiah yang muncul bersama hidangan terus memberi isyarat agar Tengku Aqilah naik ke atas bersamanya, namun Tengku Aqilah masih lagi terkaku.
          "Jom naik atas, mama mesti dah lapar." Ajak Mak Kiah lembut.
          Tanpa membuang masa Tengku Aqilah terus mendaki anak tangga. Jauh di sudut hatinya dia benar-benar terluka dengan kata-kata kakaknya pada mama kesayangannya itu. Pintu bilik mamanya dikuak dari luar.
          "Mama... Mama..." Panggil Tengku Aqilah perlahan lalu mendekati mamanya. Tengku Aqilah menjengukkan sedikit kepalanya.
          "Mama tidur Mak Kiah. Kesian mama, mesti mama dah lapar.
          Mak Kiah hanya mengangguk. Dulang hidangannya diletakkan di atad meja.
          "Qila kejut mama ya, ajak mama makan." Suruh Mak Kiah pada Tengku Aqilah.
          "Mak Kiah tak nak makan sekali? Mak Kiah pun geli macam Kak Tasha ke, sebab mama pakai pampers?" Suara Tengku Aqilah kedengaran sendu. Tangan mamanya diusap-usap lembut.
          Mata Mak Kiah mula berkaca, bibirnya diketap menahan hiba.
          "Tak sayang... Mak Kiah tak geli, cuma Mak Kiah nak bagi peluang untuk Qila makan berdua dengan mama. Habiskan masa dengan mama sebab mama sayang sangat Qila. Walaupun Qila masih kecil tapi Qila seorang anak yang bijak dan bertanggungjawab, bertuah mama Qila dapat anak macam Qila..." Dengan suara separuh berbisik Mak Kiah mengelus-elus lembut pipi montel itu. Lama wajah Tengku Aqilah direnung.
          "Tak apalah Mak Kiah keluar dulu ya, kesian pulak dengan si Ana tu tak ada siapa teman dia makan." Ujar Mak Kiah lembut dan sebelum Mak Kiah berlalu pergi kepala si kecil diusap-usap kasih.
          "Mama... Mama... Bangun ma, kita makan." Tengku Aqilah mengejutkan mamanya.
          Puan Azreena menyeka air mata yang mengalir di pelupuk matanya yang disangka Tengku Aqilah sedang tidur itu.
          "Qila, dah lama ke Qila panggil mama? Sorry sayang mama tertidur tadi." Puan Azreena memberi alasan.
          Tengku Aqilah terys membetulkan kedudukan mamanya agar selesa untuk mamanya makan. Kepala mamanya dialas dengan dua biji bantal agar tinggi sedikit.
          "Kesian mama, mama mesti lapar kan? Qila suapkan mama bubur ya, buka mulut ma." Perlahan-lahan Tengku Aqilah menyuapkan bubur itu ke dalam mulut mamanya.
          Hakikatnya Puan Azreena terasa bagaikan ada bara api yang tersekat di kerongkongnya, pedih, sakit. Namun demi untuk tidak menghampakan anak kesayangannya dia gagahkan jua untuk menjamah makanan.
         "Sedap, kan ma? Mak Kiah masak bubur."
         Kata-kata anaknya itu hanya dibalas dengan anggukan. Sebaik sudu mencecah sekali lagi ke mulutnya, Puan Azreena terus menggeleng.
         "Cukup sayang, mama dah kenyang. Qila makan pulak ya, mama teman."
         Tengku Aqilah mengerutkan dahinya. Dia menyudukan pula air suam ke mulut mamanya.
         "Betul ke mama dah kenyang? Qila tengok mama makan sikit aje." Jelas kedengaran kerisauan pada suara Tengku Aqilah.
         "Sayang, makan nanti sejuk tak sedap." Ujar Puan Azreena perlahan. Dengan tangan kiri yang terketar-ketar dia menggagahkan juga untuk memegang tangan puteri kesayangannya yang masih terkaku di sebelahnya bersama mangkuk bubur di pangkuan.
          Tengku Aqilah hanya mengangguk perlahan, kemudian dia terus bangkit dan menuju ke meja hidangan. Selepas mengambil nasi dan lauk, Tengku Aqilah kembali bersimpuh di sebelah mamanya dan dengan penuh berselera dia menjamah makan malamnya. Puan Azreena tersenyum memandang anak bongsunya itu, namun makin lama wajah itu direnung, makin hiba hatinya.



"Reena tak sangka abang sangguh buat Qila macam tu sekali!" Marah sungguh Puan Azreena pada suaminya.
          Walau tiada lagi jeritan yang mampu untuk dilontarkan namun getaran pada nada suaranya cukup menunjukkan pada suaminya yang dia amat kecewa atas perbuatan suaminya pada anak bongsu mereka.
          "Apa yang awak merepek ni? Oh, jadi tadi anak kesayangan awak tu masuk bilik ni mengadulah ya? Dah pandai mengadu sekarang. Dasar anak tak sedar dek untung!" Gerutu Tengku Hisham dengan wajah yang mula merah.
          "Abang cukup-cukuplah tu... Dah 10 tahun bang. Tak habis lagi benci abang pada dia... Terimalah qada dan qadar Tuhan bang. Kita orang Islam, kita harus percaya pada takdir." Jelas getaran pada suara isterinya.
          "Habis Reena ingat abang tak percaya pada takdir? Apa ingat abang dah tak ada iman?" Sanggah Tengku Hisham dengan suara yang makin meninggi.
          "Reena tak maksudkan macam tu bang, Reena cuma nak abang terima ujian yang Allah berikan pada Reena ni dengan redha, bukan meletakkan kesalahan pada anak kita, pada Qila bang... Dia tak berdosa, dia tak pernah mintak untuk dilahirkan ke dunia ni, tapi segalanya telah ditetapkan di Loh Mahfuz lagi. Jadi siapa kita untuk menghalangnya." Rintih Puan Azreena pada suaminya. Tangan suaminya yang berada di dalam genggamannya sedari tadi makin dieratkan.
          Tengku Hisham terus menarik tangannya, dia bangkit dari katil lalu bergerak ke tingkap. Lama dia merenung malam yang gelap-gelita tanpa bintang mahupun bulan yang menyuluhkan sinarannya kala itu. Adakah bulan dan bintang juga merajuk seperti hatiku ini? Satu keluhan dilepaskan, kepalanya digeleng.
          "Reena tak tahu apa yang abang lalui, Reena tak tahu betapa abang menderita selama ini... Menderita kehilangan Reena sebelum waktunya. Setiap hari hati ini merintih melihat penderitaan sayang. Reena tahukan betapa abang sayangkan Reena, sayang sangat... Tapi abang tak mampu untuk membantu Reena. Abang tak mampu..." Sebak suara Tengku Hisham. Dia terus berpusing memandang isterinya.
           Sesekali kedengaran sedu-sedan Puan Azreena.
           "Tak guna Reena keluarkan air mata itu lagi, segalanya dah terlambat. Semuanya dah terlambat Reena, kalau dulu Reena dengar cakap abang untuk buat pembedahan dengan segera semua ini mungkin akan dapat diselamatkan... Tapi sekarang tengoklah, penyakit barah itu dah mematikan seluruh sel-sel badan Reena. Kesudahannya Reena sudah tidak mampu bergerak lagi, lumpuh. Tubuh Reena jadi kaku hanya untuk menyelamatkan satu zuriat. Reena sanggup menggadaikan nyawa sendiri, Reena lupa cinta kita... Reena lupa janji kita..." Tengku Hisham terus menanggalkan cermin matanya. Wajahnya diusap berkali-kali, kecewa sungguh kedengaran suaranya..
          "Reena minta maaf bang... Reena minta maaf... Reena pun kalau boleh tak nak penyakit ni bang. Reena yang tanggung, Reena yang rasa kesakitannya... Tapi kita tak mampu untuk menghalangnya. Segalanya sudah tersurat bang, dah tersurat. Istighfarlah bang... Ingat Allah... Ingat Allah..."
          "Tapi Allah suruh kita berusaha, kita boleh mengubahnya dengan usaha dan doa tapi Reena langsung tak nak berusaha. Reena hanya pasrah dari mula hingga sekarang. Reena biarkan virus barah itu merebak Sebaik budak itu dilahirkan bermulalah penderitaan Reena.
          Seluruh tubuh Reena lemah, terlalu lemah dan sekarang ni Reena dah tak mampu bergerak lagi. Apa Reena dapat sekarang? Anak? Apa yang dia boleh tolong? Apa yang istimewa sangat dengan kelahiran dia? Bukan saja Reena makin sakit tahu tak, business abang pun dah nak lingkup gara-gara budak tu. Dasar budak bawak sial!!!"
          "Abang! Mana iman abang ni? Ya Allah, apa dah jadi dengan abang ni?" jerit Puan Azreena sekuat hatinya. Dadanya dirasakan bagai hendak pecah. Nafasnya sudah mula tersekat-sekat.
          "Arg! Aku malas nak cerita pasal ni lagi! Buat sakit hati aje. Sakit hati, tahu tak!" Tengku Hisham terus keluar dengan hempasan pintu yang kuat.
          Esakan Puan Azreena sudah makin tenggelam timbul akibat dihimpit kesedihan yang teramat di kala ini.
          "Mama.. Mama..." Tengku Aqilah menggoyangkan sedikit lengan mamanya yang nampak begitu leka memandang wajahnya tanpa berkelip.
          Tersentak Puan Azreena dibuatnya. Segala pertengkaran yang berlaku selepas Maghrib tadi dengan suaminya hilang melayang bagai ditiup bayu malam.
          "Mama mesti dah penat, kan? Qila picit mama ya? Mama tidurlah, Qila ada sini teman mama."
          Ungkapannya yang serasa seperti menghiris hati Puan Azreena menjadi lumat. Lincah tangan si comel memicit kaki mamanya itu. Wajah anak bongsunya dipandang, lama.
          "Ya Allah, aku dapat rasakan perjalananku di dunia ini sudah sampai di garisan penamatnya. Sudah tidak tertanggung kesakitan ini, Ya Allah. Namun bukan itu yang aku runsingkan. Lihatlah si comel ku itu, bagaimana suci wajahnya, begitulah suci hatinya. Aqilah... Walaupun kelak mama tiada di sisimu, mama sentiasa mendoakan kebahagiaanmu sayang... Maafkan mama sayang... Maafkan mama... Mama tak mampu untuk terus berada di sisimu sayang.. Ya Allah, peliharalah anakku, curahkanlah kasih sayang padanya kerana dia tiada sesiapa selain-Mu." Doa Puan Azreena di dalam hati lalu perlahan-lahan dia memejamkan matanya.
          Guruh mula berdentum. Langsir tingkap melayang-layang ditiup angin. Tengku Aqilah pantas menutup tingkap. Dengan penuh hati-hati dia menyelimutkan mamanya. Tengku Aqilah mendekati mamanya, dahi mamanya dicium penuh kasih.
           "Ma, hari hujan di luar. Qila dah selimutkan mama. Mama tak sejuk lagi. Qila akan sentiasa jaga mama. Selamat malam mama... Qila sayang mama..." Bisik Tengku Aqilah.
            Melihat mamanya yang sudah lena itu dia terus melangkah ke pintu namun entah mengapa malam itu hatinya tiba-tiba menjadi tidak keruan. Berat sungguh kakinya hendak meninggalkan mamanya seorang diri tapi bila memikirkan papanya yang akan pulang pada bila-bila masa saja lagi dia melangkah jua untuk meninggalkan kamar itu.
             Sebaik tangannya memulas tombol pintu, dia terus berpusing semula dan berlari ke arah mamanya. Pipi mamanya dicium sepenuh hati. Lama dia mendakap tubuh uzur mamanya itu.
             "Qila sayang mama... Qila sayang mama..." Ucapnya tanpa henti.

# Maaf jika ada tersalah taip.. 

1 comment: