Green Horizontal Stripe Pointer

Suami Yang kubenci

#BAB 3

Uwais termenung di kerusi batu tidak jauh dari gerainya.Dia memandang beberapa pelanggan yang singgah di gerainya itu.Sudah hampir tujuh bulan, gerainya yang dulu kecil, sekarang sudah mampu menampung pelanggan yang lebih ramai. Siap dipasang LCD dan layar lebar untuk pelangannya menghilangkan rasa bosan menunggu tempahan. Bukan setakat pelbagai jenis resipi burger, gerainya juga meghidangkan pelbagai menu masakan Barat yang lain.

"Uwais!" Seseorang menyapa dari jauh.

Uwais sekadar mengangkat tangan. Sedikit senyuman dihulurkan. Dia tidak ada rasa  untuk berbual dengan sesiapa. Biarlah Wahab, rakan kongsinya sahaja yang melayan mereka. Lagipun, tidak perlulah dia berasa kalut kerana beberapa hari lepas, dia sudah pun medapat seorang pekerja yang mampu digajikan.

Fikiran Uwais jauh melayang mengingati kejadian beberapa hari lepas. Sangkanya, kalau dia lebih bertolak ansur.Hannah akan bersikap lebih toleransi dengannya.Huh, toleransi pekebenda! Perempuan itu memang sudah melampau! Kalaulah bukan kerana kesabarannya yang masih utuh, mahu sahaja ditampar muka Hannah sekuat hatinya.

Kalau bencikan dia sekalipun, tergamak Hannah membuang burger keju yang dibuatnya ke dalam tong sampah? Apa, hina sangatkah sesuatu yang datang daripada pemberiannya? Tidak bolehkah Hannah menghargai keikhlasan orang lain? Sepatutnya dia yang dihidangkan makanan daripada air tangan isterinya itu. Dia tidak minta Hannah jadi isterinya yang terbaik.

Dari hari pertama mereka bernikah pun dia tahu, Hannah langsung tidak sukakan dia. Bukanlah dia bodoh sangat hendak faham air muka Hanah yang langsung  tidak gembira. Dia sedar dia bukan anak jutawan, hartawan apatah lagi hendak melekat satu perkataan 'wan' pun memang tidak ada. Namun begitu, sehina manapun dia pada pandangan Hannah, dia tetap manusia. Dia juga ada perasaan. Dia seorang lelaki yang ada jiwa, ada rasa, dia berhak untuk merasa sensitif jika dirinya tidak dipedulikan.

"Pipit dengan enggang mana boleh terbang bersama,Uwais..."

Dia teringat kata-kata emaknya sebaik sahaja dia menerima saranan Tan Sri Idris untuk menikahi Hannah Maryam. Dia bukan pipit yang mahu terbang dersama enggang...Tidak pernah terlintas pun. Lagipun, dalam dunia manusianya, dia hanya menaiki Mini Cooper hijau yang selalu terbatuk-batuk enjinnya sedangkan Hannah? Audi A4 Cabriolet itu sahaja cukup untuk buat dia rasa 'kecil hati'.

Menyesalkah dia kerana bersetuju? Hanya kerana bantuan Tan Sri Idris yang menyelesaikan segala hutang-hutangnya, dia rela mejadikan dirinya umpama bidan terjun dalam majlis yang bukan 'miliknya.'

Perkara sudah berlaku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Tiba-tiba dia mengingati segala yang bermula dalam riwayat antara dia dan Hannah Maryam.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"APALAH nasib mak ni beranakkan kau,Uwais oi....! Ingatkan ada anak jantan sorang, bolehlah jadi tempat mak nak berpaut,ini tak......kau lagi nak cekik leher mak ni."

"Tak baik cakap macam tu.....Anak tu rezeki Allah, mak."

"Pandai pulak kau bercakap, ya? Apasal kau tak jadi lawyer aje? Ini tak.....jadi penjual burger.Kalau laku tak pe lah jugak......Orang kampung ni Uwais, tahu makan sayur kampung dengan lauk ikan sungai aje...Habis sedap pun makan pucuk ubi dengan sambal belacan.Kau pulak nak suruh diaorang tu makan burger? Dah tu....modal berniaga pun kau pinjam dengan lintah darat. Eeee...geram betul aku....!" Sarimah menyiat-nyiat sabut kelapa tua yang dikopeknya. Membayangkan rambut anak lelakinya yang ditarik-tariknya.

Uwais telan liur. Apalah mak aku ni, mana ada orang kampung kita makan pucuk ubi dengan sambal belacan? Yang selalu makan menu tu kat dalam rumah kita mak aje......Tetapi ayat itu hanya sekadar  melewati ruang hatinya sahaja. Maunya berani dia jawab macam tu? Silap-silap parang kat  tangan maknya itu melayang tanpa disangka-sangka. Mak aku ni bukan calang-calang keturunan.....cucu-cicit Tok Gajah tu...!

"Jawablah kenapa kau pinjam dengan lintah darat tu?"

Uwais hampir terloncat apabila dijerkah begitu.

"Err....dah tu, takkan nak pinjam dengan lintah sungai, mak.......!" Uwais ketap bibir. Apa ke sengal sangat jawapan itu yang terkeluar?

Sarimah selesai mengomek kelapa. Cadangnya hendak membuat gulai ikan salai dengan rebung.

"Kau nikan,kalau ikutkan hati....mak gulaikan kau dengan rebung.....Gantikan ikan salai yang mak beli kat pasar tu. Yang mak hairan tu, belajar sampai universiti, tapi kerja setakat jual burger aje? Manalah orang kampung tak gelakkan kau....Belajar bisnes konon...! Jual la kayu balak ke, kereta ke, bukak restoran mewah ke, ini tak.gerai burger???"

"Mak ni, bukan nak doakan anak.....lagi dikutuk pulak....."

"Habis, kau nak mak puji? Bukak gerai buger macam tu pun kau pinjam along....Paling tak, mulakanlah dengan cara yang betul...." Sarimah menggeleng kepala.

"Hari tu Uwais mintak pinjam duit mak,mak tak nak bagi."

"Duit pencen arwah ayah kau tu, mak nak buat belanja sekolah adik kau...Patutnya kau ni pergilah cari kerja kat bandar tu hah...takkanlah tak de langsung...."

"Susah nak dapat, mak......Lagipun Uwais punya pointer cukup makan aje, mak......"

"Pointer kau  cukup makan? Habis kau nka makan apa? Hah......malam ni, kau makan habis burger  kau yang tak laku tu. Satu lagi, hutang along tu..Kau pandai-pandai bayar sendiri......Mak tak nak campur.Bisnes konon!"

Uwais garu kepala.Ahhh....matilah aku kali ni! Kalau geng Ajak Galah tu jumpa aku mintak duit macam mana? Pening kepalanya. Masuk har ni sudah dua bulan dia gagal membayar hutang lintah darat. Bukanlah banyak pun dia pinjam.....Cuma seribu ringgit sahaja, tetapi macam mana boleh jadi tiga ribu dia pun tak tahu. Memang cekik darah punya lintah!

Elaun dia mengajar kelas tuisyen di bandar pun masih belum diperoleh lagi. Bukanlah banyak mana pun, cuma enam ratus ringgit sebulan. Tetapi dengan duit itulah dia buat duit pusingan modal dan diberikan kepada emaknya sedikit. Mujurlah dia duduk di kawasan kampung, kosa sara hidup tidak begitu tinggi. Kenapalah susah sangat dia nak dapat kerja? Minta kerja yang setaraf, kualiti tidak mencapai standard....Bila dia minta kerja kerani, konon dia ada degree, tidak boleh kerja serendah itu...hendak minta kerja pam minyak pun kena bersaing dengan budak lepasan SPM...Mahal betul rezeki kau Uwais oii....!

"Uwais, apa lagi tercongok bawah pokok kelapa tu? Pergi ambik adik kau kat sekolah!" arah maknya. Dari dalam rumah pun maknya mampu mencapai tahap suara loud speaker...Memang dashyat  mak aku ni....!

"Yalah mak....Uwais nak pergilah ni."

Uwais menghampiri kereta Mini Cooper peninggalan arwah ayahnya. Walaupun kereta itu sudah lama, tetapi masih berkilau catnya akibat selalu dipolish.

Enjin dihidupkan, tetapi hanya separuh nafas deruan sahaja....selebihnya bunyi macam batuk-batuk manja. Uwais kerut dahi, dia membulatkan mata meneliti takat minyak.Memang sah!

"Habis minyak la pulak...!" Uwais mengeluh. Entah dari mana dia melihat lambang ringgit berterbangan di ruang matanya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

UWAIS mencari kelibat adiknya dalam kalangan pelajar yang berpusu keluar dari kawasan sekolah. Dia setia duduk di atas motosikal EX-5 miliknya. Sesekali matanya mengerling pada seorang perempuan yang sedang leka dengan laptop. Perempuan itu santai duduk di kerusi batu yang diletakkan di situ. Tunggu adik dia agaknya, fikir Uwais. Dia ralit memerhatikan kereta mewah yang diparkir tidak jauh dari situ. Siapa agaknya gadis cantik itu? Tidak pernah dia nampak sebelum ini......

Mata mereka kebetulan berlaga. Uwais mengukir senyum ikhlas tetapi langsung tidak berbalas bahkan hanya jelingan yang diterima. Wajah perempuan itu mencuka. Alahai.......dia tak suka aku pandang dia kut...!

"Abang....apasal datang jemput Anis naik motor? Abangkan tahu Anis gayat kalau naik motor?"

Adiknya, Anis mula mengeluh sebaik sahaja mucul di hadapannya.

"Sorry lah dik...minyak kereta habis. Abang tak de duitlah nak beli sekarang. Tak pe, adik pegang abang kemas-kemas ya? Tak pun, adik pejam mata. Kejap aje, masa adik bukak mata nanti...kita dah sampai rumah..." pujuknya. Dia tahu Anis tidak suka naik motosikal kerana gayat. Lagipun semasa adiknya itu masih zaman kanak-kanak, Anis pernah jatuh motosikal sewaktu pulang dari sekolah bersama arwah ayahnya. Sejak hari itu, arwah ayah membeli kereta kerana tidak mahu Anis tidak selesa setiap kali pergi dan balik dari sekolah.

"Janji tak bawak laju ya?"

"Ya....abang ni bukannya mat rempit."

Jawapan itu membuat Anis ketawa.

"Tapi, kenapa abang nampak macam mat rempit ek? Cuma....tua sikit aje. Kira macam mat rempit pencen."

"Dah, tak payah nak merepek. Naik cepat!"

Anis masih ketawa ketika dia menghidupkan enjin motosikalnya.

Seperti yang dia janjikan, motosikal itu ditunggang dengan perlahan. Dia dapat rasakan betapa kemasnya pegangan tangan Anis di bahunya.

"Anis pejam mata tak?" uskinya.

"Mestilah....takut! Kalau bukak amta nanti, rasa macam nak jatuh."

"Elok jugak adik abang ni takut naik motosikal...Nanti tak de lah ikut lelaki naik motor."

"Isy, abang ni....Ke situ pulak!"

Dia terasa Anis memukul perlahan bahunya. Uwais ketawa kecil. Matanya memerhatikan cermin pandang belakang. Darahnya menyirap bila secara mendadak sebuah kereta yang dipandu laju muncul dari arah belakang.

Pin!!!! Pin!!!!

Uwais hilang kawalan bila kereta itu mendekat dengan cara agak menghimpit. Maklum sahaja, jalan kampung itu agak kecil sedikit.

Motosikal Uwais terbabas ke tepi jalan. Dia dapat dengar jeritan Anis sebelum motosikal itu terjatuh. Mujurlah di atas rumput hijau.

"Anis!!!" Uwais segera membantu Anis yang sedang terduduk. Mujurlah kaki adiknya tidak tersepit.

"Aduh....apasal abang  boleh terbabas ni?" marah Anis.

Uwais memandang ke arah jalan. Dia pasti kereta itu sudah pergi jauh tetapi ketika kemudian kerete mewah itu muncul semula. Uwais kaget bila seorang remaja berbaju sekolah seperti adiknya turun dari kereta itu.

"Anis...are you okay?"

"Mastura ...awak buat apa kat sini?" Anisah  hairan bila rakan sekelasnya itu datang mendapatkannya.

"Mintak maaf Anis,kakak saya tak sengaja tadi."

"Tak sengaja apanya! Bawak kereta macam nak berlumba aje. Ini jalan kampung la wei, bukan litar  lumba." Marah Uwais. Dia membantu adiknya bangun.

"Maaf, bang....kakak saya nak cepat tadi." Mastura kelihatan serba salah.

"Maaf...maaf...Kalau jadi apa-apa kat adik saya tadi macam mana? Siapa nak bertanggungjawab?"

"Teruk sangat ke cedera adik awak tu?"

Uwais yang baru menongkat motosikal berpaling kepada yang empunya suara. Dia mengerut dahi bila perempuan yang dilihatnya di sekolah tadi berada di situ. Jadi......dialah pemandu berhemah tadi?

"Tak de apa kak, sikit aje,"jawab Anis.

"Sikit apanya, Anis? Silap-silap kaki tu terseliuh, jalan pun terjengket-jengket. Kalau tak dapat pergi sekolah  macam mana?"

Anis diam bila Uwais sudah meninggikan suara.

"Okay,macam ni la,cakap banyak pun tak guna....Saya boleh bayar kerugian awak ni, kos perubatan adik awak dan kos baiki motosikal awak ni. Berapa awak nak?"

Uwais mencekak pinggang. Sudahlah tak mintak maaf, berlagak pulak tu! Apa, ingat dengan duit semua perkara boleh selesai ke? Dia tidak puas hati......Yang bersalah kakaknya, tapi kenapa pula si adik yang kena minta maaf?

"Cik, saya tahu cik banyak duit...Simpan sajalah. Cuma saya nak ingatkan....ini jalan kampung, lain kali bawak kereta mahal cik tu hati-hati."

"Saya turun dari kereta ni bukan nak dengar nasihat awak. Kalau tak sebab adik saya ni yang beria sangat suruh patah balik, tak mahu saya buang masa kat sini. Awak yang bawak motor lembap mengalahkan kura-kura tu yang menyusahkan saya...Okey, kalau awak rasa saya tak perlu bertanggungjawab dengan kecederaan adik awak ni...fine! Mastura, jom balik. Kan along dah cakap, bukan serius sangat pun....! Buang masa aje patah balik."

"Tapi along....."

"Let's go!"

"Sorry ya Anis. Nanti kita jumpa kat sekolah."

Uwais masih belum berpuas hati. Dia tidak pernah berjumpa manusia sombong dan berlagak seperti perempuan itu. Muka saja cantik!

Kereta itu meluncur pergi.

"Tak payahlah marah, bang. Sikit aje......Lagipun, motosikal abang pun tak rosak, kan?" Anis memujuk Uwais.

"Bukan apa Anis....patutnya dia mintak maaf...."

"Kan diaorang dah mintak maaf..."

"Itu adik dia....kakak dia tu buat muka tak bersalah aje.Sombong pulak tu! Anis kenal ke adik tadi tu?"

"Kenal...Hannah Mastura, kawan sekelas Anis, bang. Tadi tu kakak dia lah agaknya. Setahu Anis, kakak dia tu baru balik dari UK."

"Patutlah, dia ingat jalan kampung kita ni sama macam kat UK tu......." Uwais menggeleng. mujurlah mereka tidak cedera tadi.


4 comments:

  1. best! best! oh! kalau sudi jemput la singgah baca penulisan saya juga di sini... http://missvioletsofia.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. hi...i baru dalam blogger ni..I ada upload bab 1 -Andai Tersentuh cintamu..nak tahu pendapat rakan2 sekalian ttg tulisan i tu...sudilah kiranya melawat ke dhuhasteffanovel.blogspot.com...

    ReplyDelete