Green Horizontal Stripe Pointer

Lafazkan Kalimah CintaMu

#Bab 1

Tengku Hisham bagaikan tidak percaya dengan berita yang diterima sebentar tadi, berkali-kali dia menggeleng. Serasa seperti mimpi yang hadir di siang hari. masakan isteri kesayangannya yang selama ini sihat walafiat tiba-tiba saja disahkan menghidap penyakit berbahaya, kanser payudara. Sukar untuk dia mempercayai berita yang disampaikan oleh rakan baiknya Doktor Raj Kumar itu.     
          Tak mungkin! Tak mungkin Reena menghidapnya. Bukankah isterinya itu pergi untuk membuat pemeriksaan kandungannya yang hampir mencecah 2 bulan? Pasti Raj tersilap! Bukan Reena! Ya Allah aku tak percaya! Aku tak percaya! Reena... Abang terlalu mencintaimu... Abang terlalu menyayangimu sayang... Abang tak sanggup kehilangan Reena... Ya Allah tolonglah! Tolonglah Ya Allah! Rintihnya di dalam hati.
          "Abang..." Suara lembut isterinya terus mengembalikan dia semula ke alam nyata. Wajah isteri yang bersimpuh di sebelahnya dipandang kasih.
          "Abang... Reena tengok sejak balik dari hospital tadi abang asyik termenung aje... Kenapa abang?" Lembut Azreena mengajukan soalan pada suaminya yang kelihatan murung itu, beberapa kali rambutnya diramas.
          Satu keluhan yang cukup berat dilepaskan, tangannya terus mendongakkan wajah isterinya sedikit agar memandang tepat ke arahnya.
          "Sayang, abang akan pastikan Reena mendapat rawatan yang terbaik. Reena jangan risau tak kira berapa pun kosnya abang akan tanggung, apa yang penting sayang sihat semula ya..." Begitu beria-ia Tengku Hisham meyakinkan isterinya.
          Namun Azreena masih berwajah tenang, senyuman masih indah terukir di bibirnya yang mungil. Matanya yang sepet merenung wajah suaminya yang tampak sungguh tidak bermaya itu.
          "Abang, Reena tahu abang sayangkan Reena dan abang juga perlu tahu Reena pun sayangkan abang tapi abang tak perlulah risau sampai macam tu sekali. Lagipun Raj sendiri dah beritahu kan, ia hanya baru peringkat awal, satu ketulan kecil bukannya serius mana pun masih boleh diubatilah bang..." Lembut suara Azreena memujuk suaminya.
           Tengku Hisham mengusap lembut pipi isterinya, matanya mula bersinar.
          "Abang tahu sayang, abang tahu... Tapi abang tetap risaukan kesihatan Reena. Abang nak call Raj make an appointment untuk pembedahan Reena. Lebih cepat lebih bagus." ujar Tengku Hisham. Dia ingin bangkit dari duduknya namun sepantas itu pergelangan tangannya dipegang oleh isterinya.
          "Nanti dulu bang..." Azreena mula gelisah, bibirnya diketap kuat.
          "Kenapa ni sayang, abang tengok muka Reena pucat tiba-tiba, sayang sakit ya?" Jelas kerisauan terpamer di wajah Tengku Hisham. 
          "Bang, Reena dah bincang dengan Raj tadi, Reena tak boleh menjalani pembedahan buat masa ini."
          Berkerut dahi Tengku Hisham mendengarnya.
          "Tapi kenapa Reena? Abang tak fahamlah. Abang betul-betul tak faham. Bukankah pembedahan perlu disegerakan agar sel barah itu tidak merebak? Please Reena don't do this to me..." Sayu kedengaran suara Tengku Hisham, tangannya masih erat di dalam genggaman isterinya. 
          Air mata mula menitis di pipi lembut Azreena.
          "Bang, abang lupa ke dalam rahim ini ada satu nyawa yang sedang membesar , Reena tak boleh menjalani pembedahan sekarang, terlalu berisiko untuk bayi kita bang. Kita mungkin akan kehilangan dia. Reena tak sanggup bang, ini anak kita... Anak kita bang..." Jelas Azreena dalam sendu. Namun kesedihan Azreena itu tidak sedikit pun membekas di hati suaminya sebaliknya Tengku Hisham terus merengus marah.
          "Abang tak setuju dengan tindakan Reena, dalam keadaan darurat sekarang anak itu tidak penting! Cuba Reena fikir secara rasional, apa makna anak itu lahir ke dunia ini sedangkan abang akan kehilangan Reena? Abang tak nak menggadaikan nyawa sayang hanya untuk mendapatkan zuriat... Lagipun sayang, ini bukan zuriat pertama kita... Kita dah ada Tasha. Kehadiran Tasha dah melengkapkan rumah tangga kita. Abang tak perlukan zuriat lagi. Kalau perlu gugurkan saja kandungan itu!" Arah Tengku Hisham dengan tegas.
          Namun kata-kata Tengku Hisham bagaikan petir yang menyambar hati Azreena hingga terbakar hangus. Lama wajah suaminya dipandang tanpa berkelip.
          Kejamnya lelaki ini? Tidakkah dia tahu, setiap helaan nafasku adalah nafas bayiku? Denyutan nadiku adalah denyutan nadi bayiku? Aku dan bayi ini telah bersatu, matinya dia matilah aku.
          Melihat isterinya yang bagaikan terdiam terkaku itu, Tengku Tengku Hisham terus menghampirinya, tangan isterinya diraih.
          "Reena, abang tak berniat nak melukakan hati sayang. tapi abang terlalu sayangkan Reena. Sayang setuju dengan abangkan? Kita gugurkan..."
          Belum sempat Tengku Hisham menghabiskan ayatnya, Azreena terus memekik, "Tidak! Tidak! Jangan sama sekali abang ulangi kata-kata itu lagi! Walau apa terjadi, Reena tak akan gugurkannya. Tak akan... ini adalah nyawa Reena... Mati dia maka matilah Reena!"Tegas kedengaran kata-kata yang diucapkan oleh Azreena dengan tangan kanannya melekap di perutnya yang nampak sedikit membuncit sebelum dia berlalu pergi..


Tuk... Tuk... Tuk... Bunyi ketukan di luar pintu bilik belajarnya menyedarkan Tengku Hisham dari menungan yang cukup panjang. Dia menanggalkan cermin matanya seketika, pantas pelupuk matanya diseka. Wajanya yang bersih itu diraup berkali-kali. Satu keluhan dilepaskan..
          "Masuk..." Tegas suaranya sambil cermin mata dipakai semula.
          "Hai pa..." Tegur Tengku Natasha dengan manjanya..
          Pantas Tengku Hisham menutup buku di tangan dan sebari senyuman yang manis dihadiahkan buat anak dara kesayangannya.
          "Hai sayang..." Lembut suaranya menyapa, dalam waktu yang sama tangannya lincah membelai rambut ikal anaknya itu yang sudah duduk di sofa bersebelahannya.
          "Ni.. Tasha nak minta papa tandatangan kad laporan ni." ujar Tengku Natasha. Kad laporan sudah bertukar tangan.
          Wajah Tengku Hisham masih beriak tenang membaca buku laporan di tangannya.
          "Papa jangan marah, bukan banyak pun Tasha fail, tiga subjek aje... Papa tak marah kan?" Manja Tengku Natasha bertanya. Tangannya sudah memeluk erat lengan papanya. Hanya kedengaran turun naik nafasnya sahaja.
          "Pa... Papa tak marah Tasha kan?" Tengku Natasha terus mengasak soalan dengan tangan papanya digoyang-goyang.
          Tengku Hisham membetulkan cermin matanya yang mula melorot itu, terus wajah anak gadisnya dipandang sayang.
          "Tak, papa tak marah Tasha, papa yakin Tasha dah berusaha. Setiap hari lepas sekolah Tasha pergi tuition. Tasha anak yang rajin., Tasha jangan sedih, papa yakin anak papa akan berjaya jugak nanti. Lagipun ini baru keputusan peperiksaan penggal bukannya keputusan PMR." Lembut suara Tengku Hisham menyuntik semangat pada anak kesayangannya, Tengku Natasha yang akan menduduki peperiksaan PMR pada hujung tahun nanti.
          Tengku Natasha pantas memeluk papanya dan satu ciuman kasih terus mendarat di pipi papanya itu.
          "Thanks pa, Tasha sayang papa. Papa Tasha nak..." Belum sempat Tengku Natasha menghabiskan ayatnya pintu bilik belajar dibuka dari luar.
          Seorang kanak-kanak perempuan yang mempunyai raut wajah seperti anak Jepun, menjengukkan kepalanya. Wajah Tengku Hisham yang ceria sedari tadi terus berubah kelat. Tajam matanya memandang wajah kanak-kanak itu.
          "Hei... Qila, kau ni kan saja aje nak bagi papa marah? Kan papa dah pesan banyak kali sesiapa saja nak masuk bilik papa mesti ketuk pintu dulu, kau ni memang degillah!" Marah Tengku Natasha pada adik bongsunya, Tengku Aqilah yang berusia 10 tahun itu.
          Berubah wajah Tengku Aqilah bila dimarah begitu, matanya sedikit sepet semakin mengecil apalagi bila mata papanya sudah memandang ke arahnya dengan renungan yang tajam.
          "Maaf... Pak Engku, tapi tadi Qila dah ketuk tapi Pak Engku tak dengar..." Jelas Tengku Aqilah dengan suara yang tergagap-gagap.
          "Kau nak apa, masuk bilik aku ni?" Kasar suara Tengku Hisham bertanya, mencerlung matanya memandang anak bongsunya itu.
          Mata Tengku Aqilah mula berair, badannya sedikit menggigil, wajahnya pucat. Mulutnya bagai terkunci untuk berbicara.
          "Cakaplah!!! Yang kau tercegat dekat situ lagi buat apa? Kau ingat aku suka sangat tengok muka kau? jerkah Tengku Hisham. Marah sungguh dia melihat anak bongsunya terkaku di hadapannya sebegitu rupa. Benci sungguh dia melihat wajah itu. Benci! Benci! Benci! Itu saja perkataan keramat yang keluar dari mulutnya sebaik sahaja Tengku Aqilah tercipta di dalam rahim isterinya.
          Setitis demi setitis air mata mulai membasahi wajah Tengku Aqilah. Gerun sungguh dia mendengar jerkahan papanya itu. Tengku Natasha yang menjadi pemerhati sedari tadi hanya memberikan senyuman sinis, tiada langsung perasaan simpati bertamu di hatinya.
          Dengan tangan yang masih menggigil, buku laporan dihulurkan pada papanya. Namun buku itu masih terkaku di tangan Tengku Aqilah bila papanya tidak menunjukkan minat untuk mengambil buku laporan itu.
          Tengku Aqilah menggagahkan dirinya untuk bersuara, "Pak Engku, Qila nak minta tandatangan Pak Engku... Esok kena pulangkan semula pada cikgu." Jelas getaran pada nada suaranya.
          Tengku Hisham terus merengus, " Hei... Sejak bila pulak aku kena tandatangan buku laporan kau? Bukan selama ini mama kau ke yang sign?" Soalnya dengan garang.
          "Dulu memang mama sign Pak Engku tapi sekarang mama dah tak larat... Nak angkat tangan pun tak larat. Mama kan sakit..." Jelas kedengaran sendu pada suaranya.
          Entah mengapa kata-kata Tengku Aqilah itu bagaikan sembilu yang telah menikam lumat hatinya. Wajahnya terus berubah tegang, kulit yang sawo matang itu masih mampu menampakkan dengan jelas urat-urat hijau tergaris di atas dahinya.
          "Anak tak guna! Pasal kaulah mama kau sakit! Pasal kaulah mama kau menderita! Semuanya pasal kau, tahu tak? Hei! Berambus kau dari sini, aku tak nak tengok muka kau, berambus! Dasar budak bawak sial!
          Sepantas itu juga buku laporan yang berada di tangan Tengku Aqilah direntap dan terus dikoyak lalu dicampak ke lantai. Tengku Aqilah terus terkaku di hadapan papanya dengan wajah yang pucat dan tubuh menggigil. Air mata meniti deras membasahi pipinya yang montel itu.
          "Aku kata berambus! Kau tak reti bahasa ke?" jerkah Tengku Hisham.
          Tengku Natasha yang menjadi pemerhati sedari tadi juga turut merasa ketakutan melihat perubahan mendadak pada diri papanya. Tengku Aqilah sudah mula teresak, namun kakinya tidak mampu untuk melangkah pergi dari bilik yang dirasakan seperti neraka itu. Kakinya bagaikan dipaku kuat pada lantai.
          Melihat anak bongsunya yang masih tidak berganjak itu, api kemarahan menjulang semula dalam hatinya. Tengku Hisham terus bangkit dari kerusinya lalu menarik telinga kanan Tengku Aqilah dengan kasar.
          "Sakit Pak Engku... Sakit telinga Qila..." Rintihnya.
          Namun tidak ada sekelumit perasaan kasih mahupun simpati pada anak kecil itu, Tengki Hisham terus menarik telinganya hingga ke pintu lalu didorong tubuh kecil itu keluar dengan kasar hingga menyebabkan tubuhnya yang montel itu tersembam menyembah lantai marmar yang berkilat.
          "Mama!!!" Tengku Aqilah terus terjerit memanggil mamanya.
          Dia sudah menangis teresak-esak, namun kemarahan Tengku Hisham masih belum selesai rupanya. Buku laporan yang telah dikoyak dua itu dicampak ke muka anak bongsunya.
          "Nah ambik barang kau ni, aku benci tengok, tahu tak? Macam mana aku benci tengok muka kau macam tulah aku benci tengok barang kau? Kau dengar sini, jangan tunjukkan muka kau kat aku! Aku benci! Tahu tak benci!"
          Serentak itu pintu bilik belajar itu dihempas dengan kuat dari dalam.
          Tengku Aqilah tidak berani mengeluarkan suaranya, khuatir akan mengundang kemarahan dari papanya lagi. Hanya sesekali terdengar sedu-sedannya. Dengan sebelah tangan memegang telinga kanannya yang sudah memerah dia mengutip buku laporan yang sudah terkoyak dua itu. Lama dia menatap buku laporan di tangan, kemudian matanya beralih pula pada pintu bilik belajar yang tertutup rapat itu.
          Air mata mula mengalir di pipi si montel bagai tiada berkesudahan. Pantas dia berlari menuju ke biliknya. Sebaik sahaja tangannya yang comel itu hendak memulas tombol pintu biliknya, dia mendengar sayup-sayup suara memanggil namanya dari pintu bilik hujung yang sedikit renggang.
          "Qila...Qila... Mari dekat mama sayang... Mana anak mama tu? Qila dah tak sayang mama ya? Mama panggil pun Qila tak datang..." Perlahan suara Puan Azreena memanggil anak bongsu kesayangannya.
          Tengku Aqilah melangkah lesu menuju ke arah suara yang memanggilnya, dia sudah berdiri tegak di hadapan pintu bilik mamanya. Lama dia memandang tubuh uzur mamanya yang terbaring lemah di atas katil itu.
          Reduh mata Puan Azreena memandang tubuh montel anak bongsunya, dengan payah dia mengangkat tangan kirinya lalu menggamit si comelnya untuk menghampirinya.
          "Mari sayang... Mari dekat mama..." Panggilnya lagi dengan suara yang mula bergetar sebaik melihat si comelnya tidak berhenti menyapu air mata yang tidak silu mengalir di pipi sedari tadi.
          Sebaik melihat air mata yang mengalir lesu di celahan  pelupuk mata mamanya, Tengku Aqilah terus meluru ke arah mamanya lalu tubuh yang uzur itu di peluk sekuat hati. Lama, wajahnya dibenamkan pada dada mamanya.
          "Mama... Mama jangan tinggalkan Qila, tak ada sesiapa yang sayangkan Qila... Hanya mama yang sayangkan Qila..." Teresak-esak Tengku Aqilah menangis di dada mamanya.
          "Jangan nangis sayang... Jangan nangis... Mama kan ada? Qila tau kan mama sayang Qila." Lembut suara Puan Azreena memujuk anak bongsu kesayangannya. Dengan manja rambut ikal anaknya dibelai penuh kasih.
          Tengku Aqilah terus mengangkat wajahnya dan memandang wajah uzur mamanya. Perlahan air mata di pipinya di sapu bersih oleh jemari mamanya yang terketar itu.
          "Ma... Pak Engku cakap mama sakit sebab Qila, betul ke ma? Betul ke mama sakit sebab Qila?" Soal Tengku Aqilah perlahan dengan  nada suara yang bergetar. Jernih anak matanya memandang mamanya untuk mendapatkan satu jawapan.
          Puan Azreena tidak dapat menahan perasaannya di kala itu, lebih-lebih lagi mendengar perkataan "Pak Engku" yang dibahasakan oleh anak bongsunya pada papanya sendiri. Kepala anaknya dikucup berkali-kali. Air mata merembes laju membasahi pipi.
          "Tidak sayang... Tidak... Mama sakit bukan sebab Qila." Pipi anaknya diusap lembut.
          "Tapi Pak Engku selalu cakap mama sakit sebab Qila. Qila tak nak mama sakit. Qila tak nak ma..." Teresak-esak Tengku Aqilah meluah rasa hatinya.
          "Pandang mama sayang..." Pinta Puan Azreena
          Tengku Aqilah terus mengangkat wajahnya.
          "Mama sakit sebab dah takdir mama sayang. Allah nak menguji mama., ini bahagian mama dan mama redha menerimanya. Sayang faham tak?" terang Puan Azreena, namun beliau yakin di kala ini anak bongsunya yang masih berumur 10 tahun tidak akan memahami apa yang dimaksudkan.
          Tengku Aqilah tidak memberikan jawapan atas pertanyaan mamanya itu, cuma keningnya saja yang berkerut bagaikan cuba memahami apa yang disampaikan oleh mamanya. Puan Azreena hanya mengukir senyuman melihat raut wajah anaknya itu. Perlahan nafasnya dilepaskan, terus tubuh montel anak bongsunya itu dibawa ke dalam pelukan.
          "Satu waktu sayang akan faham apa yang mama sampaikan ni, cuma mama nak Qila tahu, Qila tak ada kena-mengena dengan penyakit mama ni. Qila bukan penyebabnya." Lembut tutur mamanya.
          Makin erat Tengku Aqilah memeluk tubuh uzur mamanya itu hinggakan buku laporan ditanganya sama-sama tersepit di celahan badan mamanya.
          "Sayang pegang apa tu?" Soal Puan Azreena sambil mengusap lembut rambut hitam lebat anak bongsunya.
          Tengku Aqilah serba salah untuk menjawab. Bibirnya digigit perlahan. "Sebenarnya ini buku laporan Qila. Mama boleh sign kan?" Perlahan pertanyaan itu diajukan Tengku Aqilah kepada Puan Azreena.
          Lama Puan Azreena memandang buku laporan yang terkoyak dua itu. Dahinya sedikit berkerut.
          "Buku laporan? Tapi kenapa sampai terkoyak macam ni? Sayang terjatuh ya?" Lembut suara mamanya bertanya.
          Perlu ke aku beritahu mama? Tapi... Aku takut nanti mama sedih, kalau mama sedih nanti mama sakit... Aku tak nak mama sakit... Sempat lagi Tengku Aqilah bermonolog di dalam hatinya.
          "Mama tanya ni... Hai sempat lagi anak mama ni berkhayal ya?" usik Puan Azreena lembut, senyuman makin luas di bibirnya yang pucat.
          Tengku Aqilah turut sama tersenyum, hingga matanya nampak semakin mengecil.
          "Aah... Mama. Tadi Qila terjatuh sampai terkoyak report card ni, nanti Qila sambungkan semula. Boleh mama sign dekat sini?" Jari Tengku Aqilah menunjuk tepat ke bahagian tempat khas tandatangan itu. Pen yang berada di dalam poket seluarnya diambil lalu dihulurkan pada mamanya.
          Entah mengapa di kala ini Puan Azreena diburu rasa sebak yang begitu mencengkam kalbunya, apatah  lagi melihat keputusan cemerlang yang tertera pada kad laporan ini. Kolam matanya mula berkaca, bahagian kanan badannya telah pun lumpuh akibat penyakit barahnya yang semakin kronik sejak tiga bulan yang lalu. Begitu susah payah Puan Azreena mengangkat tangan kirinya yang masih mampu untuk berfungsi walau tidak berapa kuat, dengan tangan yang terketar-ketar Puan Azreena mencapai pen yang dihulurkan oleh anak kesayangannya.
          "Mama... Qila pegangkan tangan mama ya..." Sedih Tengku Aqilah melihat keadaan mamanya itu. Begitu sekali dalamnya kasih mamanya pada dirinya ini walau dalam keadaan yang uzur mamanya masih berusaha unutk membahagiakan dirinya.
          Dengan penuh hati-hati tangan Puan Azreena dipegang dan dengan kudrat yang tak seberapa Puan Azreena hanya menggaris sedikit dibahagian tandatangan itu..
          "Sorry sayang... Mama tak daya nak sign. Maafkan mama sayang." ujar puan Azreena. titisan air mata mula berderai di pipi. Pilu sungguh hatinya melihat nasib yang harus dilalui oleh si kecil ini.
          "Ehh.. Kenapa mama nangis? Mama jangan nangis, Qila tak kisah. Garisan ni dah cukup buat Qila... Nanti esok Qila cakap dengan cikgu, mama yang sign tapi mama Qila tak dapat sign cantik-cantik sebab mama Qila sakit. Terima kasih ya ma... Terima kasih... Garisan ni pun dah cukup buat Qila. Qila sayang mama..." Terus satu ciuman kasih mendarat lama di dahi Puan Azreena.
          "Ma... Qila masuk bilik dulu ya. Qila nak sambung semula report card yang terkoyak ni. Nanti malam kita makan sama ya." Ujar Tengku Aqilah dengan suara yang ceria lalu terus berlari keluar dar bilik mamanya. Namun di muka pintu, dia dipanggil lagi.
          "Qila..."
          Tengku Aqilah terus memusingkan badannya, senyuman masih terukir di bibirnya yang merah itu, bersinar matanya memandang wajah mamanya.
          "Boleh tak Qila jangan panggil 'Pak Engku' tapi panggil ' papa ' sayang." Pinta Puan Azreena penuh pengharapan.
          Tengku Aqilah mengaru-garu sedikit kepalanya bagaikan sedang berfikir, panggil papa? Tengku Aqilah terus menggeleng sebelum berlalu pergi. Puan Azreena hanya mampu memandang kelibat puterinya hingga hilang dengan sorotan matanya yang berkaca.
          Maafkan mama sayang... Maafkan mama... Mama gagal untuk menjadi ibu yang sempurna padamu. Ya Allah, Kau tabahkanlah anakku untuk menghadapi dugaan-Mu ini. Kesian anak mama dalam usia sebegini kau telah diuji. Abang memang kejam! Abang kejam... Tergamak abang buat anak kita macam tu.
          Mama tahu Qila tak jatuh. Qila berbohong sebab tak nak mama sedih. Mama tahu sayang... Mama tahu derita yang kau lalui... Teringin sungguh mama mendengar panggilan papa dari mulutmu sayang sebelum mama menghembuskan nafas terakhir. Tergamak abang menzalimi anak sendiri... Hanya rintihan yang mampu diteriakkan di dalam hati.
          Di kala azan Magrib sayup-sayup kedengaran berselang-seli dengan suara esakan yang begitu sayu.

2 comments: