Green Horizontal Stripe Pointer

Lafazkan Kalimah CintaMu

#Bab 3

Puan Azreena terus batuk tanpa henti. Nafasnya sudah mula turun naik. Tangan kirinya mengusap dadanya namun kesakitan itu makin menjalar. Serasa di waktu itu, seluruh organ dalamannya, dikecai-kecai hingga lumat. Badannya sudah menggigil . Suaranya sudah tersekat di kerongkong. Dia mencungap-cungap.
          "Ya Allah... Allah...Allah..." Hanya itu yang mampu dijerit di dalam hati.
          Di kala itu, pintu bilik dikuak dari luar, Mak Kiah seperti biasa membawa hidangan pagi manakala Tengku Hisham sedang bersarapan bersama Tengku Natasha di bawah.
          "Puan, ni Kak Kiah bawa sarapan pagi. Puan nak Kak Kiah mandikan dulu ke atau nak makan dulu?" Tanya Mak Kiah lalu meletakkan hidangan di atas meja tanpa menyedari keadaan Puan Azreena yang sedang nazak waktu itu.
          Cuaca yang masih gelap menyukarkan Mak Kiah untuk melihat keadaan Puan Azreena, walaupun jam di dinding sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi namun pada pagi Sabtu itu, cuaca begitu mendung di luar. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun menimpa bumi.
          Mak Kiah terus memetik suis utama, bilik tidur menjadi terang-benderang. Sebaik Mak Kiah menoleh  ke arah Puan Azreena, matanya bagaikan hendak terjojol keluar. Dengan pantas dia berlari mendapatkan majikannya yang sudah tidak sedarkan diri itu.
          "Ya Allah! Puan kenapa jadi macam ni! Puan... Ya Allah, banyaknya darah keluar... Engku! Engku!" Mak Kiah terus menjerit memanggil Tengku Hisham dengan tubuh Puan Azreena masih dipautnya. Darah keluar tanpa henti dari setiap rongga. Baju tidur yang dipakai oleh majikannya itu sudah dibasahi dengan darah. Mata Puan Azreena tertutup rapat, tiada lagi ombakan nafas pada dadanya. Mak Kiah semakin panik.
          "Puan! Bangun puan! Puan!"
          Namun panggilannya tiada sebarang jawapan mahupun reaksi. Mak Kiah bagaikan sukar untuk mempercayai di kala itu, majikan kesayangannya itu sudah tidak bernafas lagi. Puan Azreena sudah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Air mata sudah tidak terkawal lagi, merembes keluar tanpa henti.
          "Engku!!!" Jeritnya lebih kuat.
          Tengku Hisham yang sedang leka berbual dengan anak kesayangannya Tengku Natasha di meja makan terus tersentak sebaik mendengar jeritan Mak Kiah itu. Dengan pantas Tengku Hisham berlari mendaki anak tangga. Sebaik dia melangkah masuk, matanya tidak berkelip memandang sekujur tubuh yang kaku di pangkuan Mak Kiah.
          "Puan dah tak ada Engku... Puan dah tinggalkan kita... Puan dah tak ada..." Mengongoi Mak Kiah memberitahu. Tubuh Puan Azreena diletakkan perlahan di atas bantal.
          Tengku Hisham sudah berada di sisi isterinya. Denyutan nadi di rasa. Wajahnya terus berubah pucat serta-merta, matanya sudah merah dan berkaca. Dengan tangan yang menggigil, dia meletakkan tangannya pada hidung isteri kesayangannya untuk merasa hembusan nafasnya pula, juga tiada lagi terasa helaan nafas itu.
          Empangan air matanya terus pecah di kala itu. Tengku Hisham merapati isterinya, tubuh yang kaku itu dibawa ke dalam pelukannya. Dahi isterinya dicium berkali-kali. Air mata terus membasahi pipi tanpa berpenghujung. Di kala Tengku Hisham teresak-esak menangis, Tengku Natasha muncul di muka pintu.
          "Kenapa pa? Kenapa dengan mama?" Suaranya mula sebak kedengaran.
          Tengku Hisham masih membisu seribu bahasa. Tubuh isterinya masih erat di dalam pelukannya. Mak Kiah terus bangun mendapatkan Tengku Natasha. Tangan anak sulung keluarga majikannya dipegang lembut.
          "Tasha, sabar ya nak. Mama Tasha dah tak ada. Mama dah meninggal. Sabar ya nak."
          Sebaik Mak Kiah menghabiskan ayatnya, Tengku Natasha terus berlari mendapatkan mamanya, terus tubuh mamanya dipeluk. Tiada kata-kata yang terluah di saat itu, hanya gema tangisan dua beranak yang kedengaran menangisi pemergian insan yang mereka sayang.
          Mak Kiah yang masih tidak bersisa tangisannya, melangkah keluar dari bilik itu. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Mak Kiah perlu menghubungi doktor untuk pengesahan kematian, juga memberitahu suaminya, Pak Hasan untuk memaklumkan pada orang surau.
          Dan yang paling penting menghubungi guru sekolah Tengku Aqilah supaya membawa Tengku Aqilah yang menyertai rombongan sekolah ke Zoo Taiping, pulang secepat mungkin untuk berjumpa mamanya buat kali terakhir. Makin kuat sedu-sedannya sebaik wajah Tengku Aqilah terlayar di ruang matanya.
          "Kesian kau nak..." Kata-kata itu terluah di lubuk hatinya.



Tengku Aqilah merasa tidak sedap hati sejak malam tadi, entah mengapa ingatan pada mamanya begitu mengasak mindanya di kala ini. Satu keluhan dilepaskan perlahan, matanya terpejam namun fikirannya terus merewang.
          Farhana yang duduk di sebelahnya dapat menangkap kegelisahan Tengku Aqilah, terus bahu sahabatnya dicuit lembut. Tengku Aqilah yang berpura-pura tidur sedari tadi terus membuka matanya.
          "Qila, kau kenapa? Dari naik bas tadi aku tengok kau gelisah aje. Kau tak happy ke ikut rombongan sekolah ni?" Soal Farhana. Wajah Tengku Aqilah terus direnung.
          Tengku Aqilah mengetatkan kelip rambutnya. Bibirnya diketap, dahinya berkerut seribu. Lalu dia melemparkan pandangan ke luar tingkap.
          "Aku asyik teringatkan mama aje, Ana." Tengku Aqilah memulakan bicara.
          "Pagi tadi aku tak dapat jumpa mama sebab Pak Engku ada dalam bilik. Kita pulak dah terlewat sebab tu aku pergi jugak tanpa jumpa mama, tapi..." Tengku Aqilah terus memandang Farhana di sebelahnya.
          "Aku rasa aku nak balik sekarang, macam mama panggil aku aje. Macam mana ya, Ana?" Jelas getaran pada nada suara Tengku Aqilah.
          Tangan sahabatnya digenggam bagai mencari kekuatan. Farhana mengerutkan dahinya seperti sedang mencari jalan penyelesaian untuk masalah kawannya itu.
          "Qila, kau tak usahlah risau sangat. Aku yakin mama kau tak ada apa-apa. Lagipun kita bukan pergi lama, petang nanti kita dah balik dan kalau ada apa-apa terjadi pada mama kau mesti mak aku telefon cikgu beritahu. Kau jangan susah hati ya?" Pandai pula sahabatnya, Farhana mengatur ayat memujuk kawannya itu.
          Tengku Aqilah sudah mula tersenyum, dia mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan pandangan sahabatnya itu. Namun keceriaan di wajah Tengku Aqilah hanya seketika cuma. Cikgu Azizah selaku guru kelas Tengku Aqilah menghampiri tempat duduk muridnya itu, sempat lagi gurunya itu melemparkan senyuman pada muridnya walau jika dilihat senyuman itu tiada serinya.
          Cikgu Azizah memberi isyarat agar Farhana bangun untuk memberikan dia tempat untuk duduk di sebelah Tengku Aqilah. Sebaik punggungnya memcecah kerusi, Cikgu Azizah terus memegang lembut tangan Tengku Aqilah. Jelas terpancar keresahan di wajah guru itu, sempat lagi dia menarik nafas perlahan.
          "Qila... Cikgu nak beritahu sesuatu. Cikgu harap Qila bersabar ya. Lagipun cikgu yakin Qila seorang anak yang kuat, tabah..." Cikgu Azizah teragak-agak untuk memberitahu berita yang diterimanya sebentar tadi daripada Mak Kiah.
          Tengku Aqilah masih terkaku memandang wajah cikgunya. Degupan jantungnya semakin deras dirasakan. Perlahan-lahan Cikgu Azizah membawa Tengku Aqilah ke dalam dakapannya.
          "Qila... Mak Kiah telefon cikgu tadi, dia kata mama Qila dah tak ada sayang. Mama Qila dah meninggal." Jelas Cikgu Azizah dengan air mata yang berjuraian. Jelas esakan pada suaranya. Pilu sungguh hatinya mengenangkan nasib seorang anak kecil yang telah kehilangan seorang ibu dalam usia yang begitu muda.
          Mulut Tengku Aqilah sedikit terlopong, lama dia memandang wajah cikgunya untuk memastikan kesahihannya. Akhirnya perlahan-lahan dia menggeleng.
          "Cikgu tipu... Cikgu tipu..." Tengku Aqilah terus menggeleng. Suaranya mula bergetar.
          "Tak sayang, cikgu tak tipu. Mak Kiah yang beritahu cikgu tadi." Ujar Cikgu Azizah cuba untuk meyakinkan anak murid kesayangannya.
          Tengku Aqilah masih terus menggeleng.
          "Qila tak percaya! Mak Kiah pun tipu! Kenapa semua orang nak tipu Qila?" Tengku Aqilah sudah mula menangis. Air mata membasahi pipinya tanpa henti.
          "Janganlah buat Qila macam ni cikgu. Qila dah tak ada sesiapa... Kalau mama dah tak ada, siapa nak sayang Qila cikgu? Mama... Qila nak jumpa mama... Cikgu, Qila nak jumpa mama..." Tengku Aqilah sudah mula mengongoi.
          Farhana yang berdiri di sebelah gurunya sedari tadi turut sama menangis. Cikgu Azizah mengeratkan lagi pelukannya. Rambut Tengku Aqilah diusap lembut.
          "Ya sayang, cikgu bawak Qila jumpa mama. Kita jumpa mama ya." Pujuk Cikgu Azizah dalam sendu.


Jam sudah menunjukkan pukul 4.00 petang namun kelibat Tengku Aqilah masih juga belum kelihatan.
          "Pak Imam saya rasa bolehlah kita bawak jenazah ini untuk dikebumikan." Perlahan suara Tengku Hisham memberitahu Imam Salleh yang mengepalai urusan pengebumian jenazah isterinya.
          Imam Salleh hanya mengangguk perlahan. Sebaik sahaja beberapa orang lelaki hendak mengangkat jenazah Puan Azreena untuk dimasukkan ke dalam keranda, Mak Kiah pantas mendekati Tengku Hisham.
          "Engku, tunggulah sekejap. Saya baru telefon cikgu Qila, dia kata dalam masa 20 minit lagi mereka sampai. Tunggulah Engku, bagilah peluang Qila jumpa mama dia buat kali terakhir Engku. Tolonglah Engku..." Rayu Mak Kiah pada Tengku Hisham dengan suara yang teresak-esak.
          "Dah lambat sangat Kak Kiah... Dah nak masuk Asar arwah ni meninggal dari pagi lagi. Saya tak nak menyeksa jenazah dengan melambat-lambatkan pengebumian. Saya dah bagi peluang sampai pukul 4, cukuplah di dunia ini dia hidup terseksa, saya tak nak menyeksa arwah lagi. Marilah kita angkat jenazah ni." Tengku Hisham tidak mengendahkan rayuan Mak Kiah. Tiada langsung rasa kasih terbit dalam dasar hatinya untuk si kecil bernama Aqilah.
          Mak Kiah tidak mampu bersuara lagi, lebih-lebih lagi bila melihat suaminya, Pak Hasan sudah memberikan isyarat agar dia mendiamkan diri sahaja. Mak Kiah cukup terkilan dengan perbuatan Tengku Hisham, dia akui kita wajib untuk menyegerakan pengurusan jenazah, melambat-lambatkan pengebumian jenazah akan menyeksa jenazah itu sahaja. Namun hanya untuk menunggu 20 minit apalah salahnya, Allah itu Maha Mengetahui akan segalanya.
          "Ya Allah, kumohon pada-Mu berilah peluang Aqilah menatap wajah mamanya buat kali terakhir. Kasihanilah anak kecil itu, Ya Allah..." Itulah doa yang tidak putus-putus diucapkan oleh Mak Kiah sepanjang mengiringi jenazah ke kubur.



Bas yang membawa rombongan Tengku Aqilah, sampai di perkarangan rumah mewah itu di kala jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Tengku Aqilah bersama Cikgu Azizah bergegas keluar dari perut bas berkenaan. Namun di pintu pagar seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an tergesa-gesa memberitahu, " Cepat pergi ke kubur... Dah nak kebumi tu... Cepat sikit..."
          Cikgu Azizah bagaikan tidak percaya, keluarga Tengku Aqilah tidak menunggu kepulangan anaknya untuk memberikan peluang menatap wajah mamanya buat kali terakhir.
          "Cepat-cepat cikgu, saya hantar ke kubur. Lagipun kubur tu tak jauh pun dari sini hanya 200 meter aje." Rosli berteriak dari dalam bas.
          Tengku Aqilah sudah kering air matanya, hanya sesekali kedengaran sedu-sedannya sahaja. Tengku Aqilah bagaikan orang kebingungan dia hanya mengikut saja apabila tangannya ditarik Cikgu Azizah untuk masuk ke dalam bas.
          "Mama Qila mana cikgu? Mama tak ada di rumah ke?" Soal Tengku Aqilah sebaik bas bergerak.
          Cikgu Azizah hanya menggenggam erat tangannya.



Di tanah perkuburan sudah di penuhi dengan saudara-mara serta sahabat handai, semuanya ingin memberikan penghormatan yang terakhir pada jenazah Puan Azreena. Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu.
          "Boleh kita kebumikan sekarang Engku?" Imam Salleh menanyakan pada Tengku Hisham dan pertanyaan itu hanya dijawab dengan anggukan.
          Empat orang lelaki sudah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah, keranda sudah dibuka. Sebaik jenazah hendak diangkat, dari jauh jelas kedengaran suara kanak-kanak kecil memanggil mamanya. Sayu sungguh kedengaran suara itu.
          "Mama... Mama... Qila nak jumpa mama!" Jerit Tengku Aqilah. Dia sedang berlari menuju ke tempat di mana mamanya akan dikebumikan. Dua tiga kali juga dia jatuh menggelungsur untuk mendaki tanah yang sedikit berbukit itu, tambahan pula pagi tadi hujan lebat menyebabkan tanah kawasan perkuburan itu melekit dan licin.
          "Tunggu Qila, mama! Mama... Tunggu! Qila nak jumpa mama!" Teriak Tengku Aqilah dengan esakan yang kuat.
          Mak Kiah yang melihat terus berlari mendapatkan Tengku Aqilah. Tubuh itu terus dikendong lalu dibawa mendekati jenazah mamanya.
          "Pak Imam boleh bukak kain kapan ni sekejap, ni anak arwah yang bongsu, bagi dia tengok mama dia buat kali terakhir. Tolong Pak Imam..."Rayu Mak Kiah dengan suara yang teresak-esak.
          Tengku Aqilah sudah teresak-esak. Sayu matanya memandang tubuh mamanya yang sudah dibalut dengan kain kapan itu.
          "Tak payah Pak Imam, kita teruskan aje. Hari pun dah makin nak senja, mendung pulak tu, nanti hujan lagi susah." Tengku Hisham yang mendiamkan diri sedari tadi tiba-tiba terus bersuara.
          Tengku Natasha yang berada di tepi kubur itu bersama ahli keluarga yang lain hanya menjadi pemerhati saja. Tengku Aqilah terus mengangkat wajahnya sebaik mendengar kata-kata papanya itu, lama wajah papanya direnung. Setitis demi setitis air mata mula membasahi pipinya. Tengku Hisham yang menyedari akan renungan itu mengalihkan wajahnya ke arah lain.
          "Tak apalah Engku, berilah peluang untuk anak melihat ibunya buat kali terakhir." Sampuk Imam Salleh.
          Sedih sungguh hatinya melihat renungan mata si kecil itu. Biarlah dia bersama dengan ibunya buat terakhir kalinya. Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
          Perlahan-lahan kain kapan yang menutupi wajah mamanya dibuka oleh Mak Kiah. Tengku Aqilah sudah mula teresak, matanya makin bengkak.
          "Lap air mata sayang, lap bersih-bersih. Qila tak nak mama sakit lagi kan? Jangan bagi air mata kena muka mama ya, nanti mama sakit." Bisik Mak Kiah perlahan di telinga Tengku Aqilah.
          Si kecil yang masih teresak itu, bersungguh-sungguh mengelap air mata yang masih degil untuk berhenti. Wajahnya sudah jelas kemerahan. Setelah yakin tiada air mata yang mengalir, Si kecil itu mencium dahi mamanya dengan penuh kasih sayang. Air mata yang hendak mengalir deras pantas diseka lagi. Seluruh wajah mamanya dicium sepuas-puasnya. Sejuk. Itulah yang dirasakan pada tubuh insan yang paling disayangi itu.
          "Dah sayang... Biarkan mama jumpa Tuhan. Kesian mama... Mama dah lama sakit, sekarang mama dah tak sakit lagi. Allah jaga mama... Mari sayang." Pujuk Mak Kiah lembut pada si yatim itu.
          Sebaik kain kapan itu hendak diikan semula, Tengku Aqilah terus menerpa pada jasad mamanya, sekuat hati dia memeluk tubuh yang kaku itu.
          "Mak Kiah, Qila nak mama... Mama kenapa tinggalkan Qila? Semalam mama cakap mama tak akan tinggalkan Qila. Qila tak ada sesiapa mama, tak ada siapa yang sayang Qila. Kenapa mama tinggalkan Qila? Qila sayang mama... Qila sayang mama... Mak Kiah macam mana Qila nak cakap dengan Tuhan , jangan ambil mama Qila..." Tengku Aqilah terus menangis teresak-esak.
          Mak Kiah terpaksa menarik tangan Tengku Aqilah dari sisi mamanya. Pak Hasan turut membantu.
          "Mari sayang... Qila kata sayang mama kan? Kalau sayang mama, jangan buat macam ni dekat mama. Allah akan jaga mama. Sekarang mama dah tak sakit lagi. Lepaskan mama sayang." Pujuk Mak Kian lagi dalam sedu-sedannya.
          Tengku Aqilah terus menjerit sebaik Pak Hasan mengendong dia pergi..
          "Qila nak mama! Qila nak mama! Mama... Mama..."
          Semasa jenazah masuk ke dalam liang lahad, sayup-sayup kedengaran suara Tengku Aqilah menjerit-jerit memanggil mamanya. Semua yang berada di tanah perkuburan itu tidak mampu untuk membendung kesedihan mereka. Sabarlah si comelku Aqilah, doa yang berterusan di dalam hati mereka.



Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi. Malam semakin gelap jadinya tanpa silauan bulan mahupun bintang. Tengku Aqilah hanya menyandar lesu di tepi pintu dapur, bergema suara orang ramai membaca surah Yasin.
          Mak Kiah sibuk menyediakan hidangan untuk kenduri tahlil ini dengan dibantu jiran-jiran. Selepas balik dari kubur tadi Tengku Hisham ada mencadangkan membuat tempahan katering untuk kenduri tahlil malam nanti. Namun Mak Kiah sukarela untuk memasaknya sendiri. Lagipun mereka bukannya tinggal di bandar, amalan gotong-royong yang sudah lama pupus. Inikan kampung, di Kepala Batas, Pulau Pinang. Masyarakatnya masih mengamalkan sikap tolong menolong. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
          "Qila, jom masuk. Kat luar ni sejuk, buat apa kau duduk di muka pintu ni. Kan hujan kat luar tu." Farhana cuba memujuk Tengku Aqilah yang tidak berkelip memandang air hujan yang tidak putus-putus menimpa bumi.
          "Ana, dari sini pun boleh nampak kubur kan? Rupanya kubur tu tak jauh dari rumah, aku aje yang tak perasan."
          Farhana hanya mengangguk mengiakan kata-kata Tengku Aqilah itu.
          "Ana..." Tengku Aqilah bersuara semula, "Mesti mama aku sejuk... Selalu kalau hujan macam ni aku akan menyelimutkan mama tapi sekarang ni..." Sayu kedengaran suara Tengku Aqilah. Lama dia memandang ke arah tanah perkuburan itu.
          Mak Kiah terdengar perbualan Tengku Aqilah dengan anaknya, Farhana mula merasa tidak sedap hati. Beberapa minit kemudian, Tengku Aqilah bangun, dia terus mendaki anak tangga ke bilik tidurnya, tidak sampai dua minit, dia kembali semula ke dapur bersama selimut di tangan, wajahnya cukup pucat.
          "Kau sejuk ke Qila? Kau nak buat apa dengan selimut ni?"
          Pertanyaan Farhana itu tidak dijawab, Tengku Aqilah terus menyarung selipar, dengan laju dia mengorak langkah.
          "Mak... Mak... Qila mak! Cepat mak!" Farhana menjerit memanggil Mak Kiah.
          Terkocoh-kocoh Mak Kiah mendapatkan anaknya, jelas kerisauan terpamer di wajahnya.
          "Kenapa ni Ana? Terjerit-jerit, kan orang tengah baca Yasin tu!" Marah Mak Kiah pada anaknya.
          Farhana terus menarik tangan emaknya ke pintu dapur.
          "Qila mak, mak tengoklah tu! Qila keluar malam-malam bawak selimut. Dia kata mama dia sejuk, dia kata..." Belum sempat Farhana menghabiskan ayatnya Mak Kiah terus bergegas mengejar Tengku Aqilah yang sudah laju ke hadapan.
          "Qila tunggu Mak Kiah sayang... Qila nak pergi mana tu! Qila!"
          Namun panggilan itu tidak langsung diendahkan oleh Tengku Aqilah, makin laju dia mengatur langkah. Dia seperti orang kebingungan dalam hujan lebat dan gelap malam tidak langsung menakutkan dirinya untuk meredah tanah perkuburan itu. Tengku Aqilah sudah tidak dapat mengawal dirinya.
          "Mama... Mama... Qila datang mama. Mesti mama sejuk kan.." Tengku Aqilah berlari-lari anak mendapatkan kubur mamanya yang masih merah itu.
          Lama, dia memandang hujan yang turun mencurah menimpa kubur mamanya. Dalam Tengku Aqilah menggigil kesejukan, dia menyelimutkan pusara mamanya.
          "Mama tidur ya... Qila ada... Qila teman mama. Mama dah tak sejuk lagi kan? Mama jangan tinggalkan Qila ya? Qila sayang mama... Mama... Ma... Mama..."
          Akhirnya Tengku Aqilah terkulai di pusara mamanya.

# Maaf jika ada tersalah taip..

1 comment:

  1. How to make money from casino games.
    A casino game is one that you play deccasino with money or make money from it. A person doesn't need a money machine. So the 바카라 사이트 player doesn't need to หาเงินออนไลน์ make money.

    ReplyDelete